Ahad, 21 Julai 2013

PEROLEHAN KERAJAAN : SOALAN-SOALAN PEMBELIAN TERUS ( SAMBUNGAN )

1. Apakah had nilai pembelian terus dan syarat-syaratnya?
Had nilai pembelian terus adalah sehingga RM50,000 bagi setiap jenis item bekalan atau perkhidmatan. Pembelian terus boleh dibuat daripada mana-mana pembekal yang berdaftar atau tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan sama ada bertaraf Bumiputera atau bukan Bumiputera.

2. Bolehkah pembelian terus sehingga RM50,000 dilaksanakan untuk semua jenis perolehan bekalan dan perkhidmatan?
Pembelian terus sehingga RM50,000 boleh dilaksanakan bagi kebanyakan perolehan bekalan dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, jika terdapat Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) atau Pekeliling Kontrak Perbendaharaan (PKP) atau Arahan Perbendaharaan tertentu yang menetapkan kaedah perolehan yang perlu dilaksanakan oleh Agensi atau pembelian dibuat melalui panel pembekal/pembekal tertentu, maka SPP/PKP/Arahan Perbendaharaan berkenaan hendaklah dipatuhi. Contohnya seperti perkhidmatan percetakan, pembekalan dan penyerahan buku-buku cetakan dan terbitan luar negara, tempahan tiket kapal terbang, pengangkutan barangan import dan sebagainya.

3. Bagaimanakah untuk menentukan harga yang dikenakan bagi perolehan secara pembelian terus adalah harga yang berpatutan?
Adalah menjadi kewajipan setiap pegawai yang menguruskan perolehan membuat kajian pasaran bagi memastikan harga bekalan atau perkhidmatan yang hendak diperolehi adalah berpatutan dan menguntungkan Kerajaan. Pegawai hendaklah menentukan tawaran harga bekalan atau perkhidmatan yang hendak diperolehi adalah berpatutan setelah mengambil kira kualiti, harga, kegunaan barang itu dan faktor-faktor lain yang berkaitan termasuk kos penghantaran, tempoh waranti, khidmat selepas jualan dan sebagainya. Sehubungan itu, kajian pasaran hendaklah dibuat terlebih dahulu bagi mendapatkan sebut harga secara tidak rasmi daripada beberapa pembekal/syarikat sebelum perolehan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, sebut harga tidak rasmi tersebut tidak perlu dibuka, dijadualkan atau dipilih oleh Jawatankuasa Sebut Harga.

4. Bolehkah pembelian terus dibuat daripada pembekal yang sama?
Selaras dengan prinsip-prinsip perolehan Kerajaan, perolehan secara pembelian terus hendaklah tidak tertumpu kepada pembekal yang sama/tertentu dan semua pembekal hendaklah diberi peluang yang sama.

5. Apakah maksud setiap jenis item?
Setiap jenis item merujuk kepada pembelian terus bekalan/perkhidmatan sehingga RM50,000 setahun dari mana-mana pembekal tidak kira sama ada pembekal berdaftar atau tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan sama ada pembekal bertaraf Bumiputera atau tidak. Maksud setiap jenis item boleh ditafsirkan berdasarkan kepada contoh-contoh berikut:


(a) pelbagai alat ganti yang boleh diperoleh daripada punca bekalan yang sama adalah satu jenis item.

(b) item pelbagai saiz hendaklah ditafsirkan sebagai satu jenis item. Contoh pembelian pelbagai saiz paku (1 inci atau 1 ½ inci), cermin, kasut dan bendera.

(c) set sofa yang merangkumi pelbagai jenis kerusi (sama ada kerusi 1 tempat duduk atau 3 tempat duduk) bersama meja, ditafsirkan kepada satu jenis item. Jika pembelian perabot terdiri daripada kerusi banquet dan set sofa, maka kerusi banquet dan set sofa boleh dianggap item yang berbeza. Walau bagaimanapun, jika kedua-duanya boleh dibeli daripada pembekal yang sama, ianya boleh ditafsirkan sebagai satu jenis item (perabot).

(d) pembelian pelbagai toner ditafsirkan sebagai satu jenis item kerana boleh diperoleh daripada pembekal yang sama.

(e) pembelian alatulis (pen, pensel, pembaris, gunting, stapler, pemadam, gam dan sebagainya) ditafsirkan sebagai satu jenis item.

(f) pelbagai saiz kertas (A4, A3) dan kertas pelbagai warna adalah ditafsirkan sebagai satu jenis item.

(g) komputer, printer, monitor, key board dan CPU adalah satu jenis item.

(h) pelbagai ubat adalah satu jenis item.

(i) bahan-bahan binaan seperti simen, kayu, papan, siling, paku adalah ditafsirkan sebagai satu jenis item.

(j) pelbagai barangan elektrik seperti cerek, kipas angin, televisyen, radio, seterika, pengisar, peti sejuk adalah ditafsirkan sebagai satu jenis item kerana boleh diperoleh daripada pembekal (kedai elektrik) yang sama.

FAKTA MENARIK TENTANG BUAH KURMA


Buah Kurma

Fakta Tentang Pokok Kurma Dan Buah Kurma (Tamar)

Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis.
Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga buah kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Pokok Dan Buah Kurma

Buah Kurma Dalam Kehidupan Umat Islam Seharian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : “Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan buah kurma masak.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :
“Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ (buah kurma) dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu”.
Khasiat kurma “Ajwah” sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :
Maksud Firman Allah swt dalam surah Maryam: Ayat 25-26.
“Dan goyanglah pangkal pohon kurma tu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu.”
“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat buah kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air.
Pokok Dan Buah Kurma

Khasiat Buah Kurma (Tamar)

1. Buah Kurma dapat mencegah Penyakit Kronik Seperti Jantung & Kencing Manis , amalan memakan buah kurma setiap hari boleh mengurangkan risiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah.Berdasarkan kajian Kaum Arab Badui, yang makan buah kurma secara teratur, menunjukkan kadar pengidap penyakit kanser dan jantung yang sangat rendah.
2. Buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang kesihatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga tambahan.
3. Saidina Ali r.a. meriwayatkan “Barang siapa yang memakan 7 butir tamar (buah kurma) setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya”.
4. Kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekaligus membentuk minda kanak-kanak yang sihat.
5. Membentuk Sifat Penyabar, Bersopan Santun Dan Cerdas Pemikiran
Maksud hadis Rasulullah s.a.w. : “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”
“Melentur buluh biar dari rebungnya.” Islam mengajar kita mendidik anak sejak dari dalam kandungan ibu agar anak yang bakal dilahirkan itu dibentuk mengikut rohaniah yang suci serta memiliki tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas. Buah kurma merupakan makanan yang mampu membentuk insan yang berperibadi luhur.
6. Mengambil Keberkatan Sewaktu Kelahiran. Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya: “Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma.”
7. Buah Kurma Makanan Yang Paling Sempurna.Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. : “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”
8. Melalui petua tertentu, buah kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Buah kurma dikatakan menambah tenaga seksual atau batin. Jus buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, buah kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Buah kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.
9. Kandungan vitamin A dan C adalah amat tinggi apabila buah kurma di peringkat Rotab atau khalal
10. Buah Kurma kaya dengan serat yang dapat mencegah dari mendapat barah usus.
Walaupun buah padang pasir itu sukar dibeli dinegara ini selain Ramadhan, orang ramai khususnya umat Islam boleh menjadikan jus buah kurma yang dipasarkan sebagai pilihan alternatif.Selain berbuka puasa, buah kurma juga harus menjadi makanan pilihan umat Islam ketika bersahur seterusnya menjana tubuh sehingga waktu berbuka. Banyak khasiat buah serta tumbuh-tumbuhan yang Allah jadikan yang masih manusia tidak tahu .
Dengan sebab itulah pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan buah kurma wajar dijadikan amalan harian.


Read more: http://faktafaktamenarik.com/fakta-menarik-tentang-buah-kurma.html#ixzz2Zgspj2Jp

KISAH KEJAYAAN DATUK YUSUF TAIYOOB


“INI adalah pencapaian saya selepas 30 tahun bergelumang dalam perniagaan, apatah lagi saya bermula dari zero (kosong),” kata Datuk Yusuf Taiyoob secara ringkas sebaik saja beliau mempelawa wartawan dan jurugambar Metro Ahad memasuki ruang pejabat barunya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang.

Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.

Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.

Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.

Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.

“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.

“Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Yusuf yang masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 50 tahun berkata, selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.

Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini.

Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.

Yang penting, menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka.




“Selain itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan cepat lupa diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan setiap kali menjelang Ramadan.

Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.

Teknologi yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik jika berlaku kebocoran.

Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan.

Syarikat itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika
Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi.

Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.

Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik.

Ini menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang.

“Keadaan berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada awal pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana (Iran), akhirnya saya terkena,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Pada masa ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga berpatutan.

Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

“Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami ialah kepuasan pelanggan.

“Saya juga memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh diganti dengan kurma yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu daripada pengimport terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan produknya diimport dari lebih 30 negara.

Malah, Ramadan ini beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas mendapat banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September dan Oktober.

Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.