Saya menulis artikel ini sewaktu berada di Makkah, mengerjakan umrah. Sekali pun fokus kepada beramal ibadah, semua pengunjung ke tanah suci Madinah dan Makkah pasti menyaksikan transformasi besar kedua-dua kota agung Islam ini.

Madinah menjadi semakin indah, bersih, menarik dan tersusun, dengan seni bina dan landskap beridentiti Islamik moden lagi canggih. Cuaca dingin menambahkan sifat semula jadi sejuk dan damainya Madinah. Transformasi paling hebat sebenarnya sedang berlaku di Makkah.

Menara Masjid Haram dikelilingi berbelas ‘menara’ sementara kren pembinaan bersama mencakari langit latar, iaitu bukti nyata transformasi lebih besar kota Makkah.

Pembangunan di kedua kota agung Islam ini menyedarkan kita satu transformasi besar sedang berlaku kepada kehidupan masa depan umat Islam, bukan sahaja di Mekah dan Madinah, malah di seluruh dunia Islam. Sewajarnya, kerana seluruh dunia juga sedang berubah pesat.

Jangan ciplak sampai hilang jati diri

Sekalipun kagum dan bangga, pasti ada penziarah yang bimbangkan kesan negatif jangka panjang transformasi ini. Saya yakin ramai juga yang kurang senang dengan Kaabah dikelilingi bangunan pencakar langit, antaranya hotel dan kompleks beli-belah menawarkan produk import berjenama mahal dan kedai makanan segera francais Barat.

Bukan sahaja penziarah. Saya pernah menyaksikan kritik seorang arkitek Arab Saudi dalam satu program tv antarabangsa berbahasa Inggeris yang tegas menyatakan kejanggalan menara jam gergasi serta kompleks perniagaan mendominasi aktiviti berhampiran Kaabah. Kritikan beliau menjadi lebih tajam dalam konteks peranan besar Kaabah sebagai kiblat umat Islam.

Pasti ramai bimbang melihat jenama seperti McDonalds, Star Bucks dan KFC (selain jenama barangan mahal “luxury branded goods”) semakin mewarnai sekitaran tanah suci. Saya teringat kata-kata Ibnu Khaldun, seorang sejarawan agung Islam dalam buku “Muqaddimah”.

Ibnu Khaldun menegaskan satu bangsa (atau umat) sebenarnya telah tewas sekalipun tanpa penaklukan fizikal atau kalah dalam peperangan. Ini berlaku setelah mereka tunduk dan menciplak semua gaya hidup bangsa (atau umat) lain yang dianggap lebih tinggi, superior dan lebih sempurna sehingga hilang jati diri sendiri.

Kaabah, iaitu fokus ibadah setiap Muslim, kini semakin dihampiri falsafah hidup sekular-materialis yang bertentangan dengan nilai Islam, setelah sekitarnya diwarnai jenama bisnes Barat. Kesan jangka panjang fenomena ini terhadap masa depan pembangunan jiwa dan nilai hidup umat Islam tidak boleh dipandang ringan.

Hari ini Barat semakin tertekan kelemahan dan dipercayai tidak lagi berupaya mendominasi dunia, termasuk dunia Islam khasnya, seperti berlaku selama tiga abad sebelum ini. Kini, dua negara Timur, iaitu Republik Rakyat China dan Jepun menjadi kuasa ekonomi kedua dan ketiga terbesar dunia, dengan Korea Selatan mengejar pantas di belakang.

Persoalannya, apakah pembaharuan zaman yang sedang berlaku dalam keadaan umat Islam lemah kedudukan ekonomi akan mengakibatkan kita akan didominasi kuasa besar Timur? Apakah, dalam dekad mendatang kita akan berebut-rebut pula mendewakan jenama korporat dan “brand” milik kuasa ekonomi Timur?

Sekarang ini pun sebahagian besar cenderahati dan barangan yang setiap pengunjung ke Makkah dan Madinah beli, termasuk ”produk budaya Islam” seperti sejadah, jubah, serban, tasbih dan ketayap, diimport dari China.

Sun Tze, seorang pendeta China dalam buku ”Art of War” yang ditulis lebih 2,500 tahun dahulu menegaskan strategi paling penting mengatasi segala strategi peperangan lain ialah menawan dan menewaskan musuh tanpa perlu bertempur bertumpah darah.

Sesungguhnya perang hari ini lebih bersifat peperangan dalam aman, dengan kemenangan diukur berlandaskan sejauh mana sesuatu bangsa berjaya menakluki minda, mempengaruhi jiwa, mendefinisi pemikiran dan mencorak budaya serta mendominasi kehidupan bangsa dan tamadun musuh.

Jelas sekali, satu strategi berkesan dalam peperangan tanpa senjata membunuh ini ialah dengan menguasai bisnes dan mendominasi ekonomi pihak lawan.

Strategi Islamik

Renungkan ancaman besar yang dihadapi bangsa Melayu hari ini. Apakah tidak kita sedang ditewaskan musuh dalam peperangan alaf baru ini?  Setelah lebih 55 tahun merdeka, tidakkah kita seolah-olah dijajah semula setelah kuasa politik di kompromi, ekonomi negara didominasi bukan Muslim, budaya dan pegangan hidup semakin hilang ciri jati diri Melayu dan Islam akibat diresapi budaya dan nilai Barat dan Timur yang semakin mendominasi ekonomi dan kehidupan?

Penjajahan alaf baru bukan lagi diterajui pemerintah atau tentera tetapi oleh syarikat dan korporat menerusi produk dan jenama perkasa, sekali gus mengaut untung menambah nilai harta himpunan mereka.

Lebih-lebih lagi jika kita, sama ada secara sedar atau tidak, terlalu ghairah meniru gaya bisnes dan menciplak sistem serta amalan bisnes asing hingga kadang kala mengkompromi pantang-larang nilai budaya dan halal-haram pegangan hidup Islam.

Akibatnya, falsafah hidup sekular-materialis, individualistik dan nafsu-nafsi semakin mengesani gaya hidup Melayu-Muslim dan juga seluruh umat Islam. Tidak hairan jika dalam kalangan sesama Melayu dan Muslim kita semakin bercanggah fahaman dan berpisah haluan.


Bukan berteras sekular-materialis


Tiba masanya Malaysia sebagai salah satu negara majoriti Muslim paling maju, mendahului membina kekuatan ekonomi dengan mengintegrasikan nilai Islam bertujuan memperkasa dan menyatupadukan semula umat Islam.

Kita bangga dengan kejayaan negara memperkenalkan perbankan dan kewangan Islam.  Tiba masanya kita bina atas kejayaan ini dengan mentransformasikan dan mentakrif semula syarikat dan institusi korporat ciptaan kapitalis Barat, kali ini mengikut acuan Islam.

Ini boleh kita lakukan dengan memanfaatkan institusi warisan Islam seperti wakaf.  Sesungguhnya Malaysia boleh mendahului dengan memperkenalkan institusi Waqaf Korporat dan Bank Waqaf.

Proses transformasi ini wajar kita lakukan secara berperingkat. Fokus paling utama ialah membentengi hak-milik ekonomi Melayu-Muslim dengan mengetepikan Dasar Penswastaan.

Penswastaan merosakkan kerana ia mengutamakan individu swasta mengatasi kepentingan besar rakyat majoriti; langsung membentuk gaya hidup individualistik, materialistik dan nafsu-nafsi selain melebarkan jurang kaya-miskin.

Negara Islam mesti mengimbangi kuasa korporat swasta dengan membina institusi korporat amanah penegak keadilan ekonomi. Inilah peranan GLC Malaysia selama ini yang pernah saya sifatkan sebagai benteng terakhir hak milik Melayu-Muslim.

Beberapa GLC sangat wajar diwakafkan menjadikan mereka badan korporat induk Islamik kekal berpanjangan. Sebenarnya, umat Islam harus optimis terhadap prospek kebangkitan semula memperkasa ekonomi mereka satu hari nanti.

Sejauh ini GLC Malaysia seperti Petronas pernah diiktiraf antara korporat berprestasi tinggi antarabangsa. Demikian juga beberapa syarikat milik Arab Saudi dan Turkey. Paling penting, umat bertindak dengan penuh berhikmah dan strategi.

Sewaktu berumrah ke Makkah saya bangga sekali melihat institusi wakaf semakin dikaitkan dengan usaha bisnes dan korporat Arab Saudi. Di depan kompleks “Zam-zam Tower” tempat beberapa hotel mahal, pusat beli-belah dan jam besar dekat Kaabah jelas terpampang kenyataan: kompleks terbabit adalah harta yang telah diwakafkan Raja Abdul Aziz Saudi Arabia.

Ini membayangkan dengan adanya strategi institusi berkesan, pada akhirnya kita tidak perlu terlalu bimbang jika pada masa ini simbol kuasa korporat Barat seperti McDonald’s dan KFC kelihatan dominan. Kerana saya perhatikan jenama tempatan Arab Saudi seperti ayam goreng “Al Baik” semakin popular dan berupaya menawan cita rasa umat Islam.

Kesimpulannya, Malaysia telah menempa sejarah memperkenalkan strategi institusi seperti Lembaga Tabung Haji dan sistem perbankan Islam. Ini diikuti barisan GLC dinamis seperti PNB, Petronas, Felda, LTAT, JCorp, Bank Islam dan lainnya yang berjaya menginstitusikan amanah menegakkan keadilan ekonomi.

Kita harus berani dan tegas meneruskan penerokaan inovasi institusi menjadikannya strategi utama transformasi jangka panjang.

Inovasi membabitkan Waqaf Korporat sangat wajar dijayakan secara meluas, dilengkapi penubuhan Bank Waqaf. Wakaf sangat penting diintegrasikan ke dalam sistem ekonomi untuk mengelakkan kita cuma mengikut jalan mudah, iaitu menciplak kaedah institusi korporat Barat atau Timur yang merosakkan.



* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, DewanPerdagangan Islam Malaysia (DPIM)