Khamis, 13 Jun 2013

CARA MEMPEROLEHI KONTRAK KERAJAAN




             Tajuk bagaimana mendapat kontrak kerajaan memang menarik. Ia begitu sinonim dengan orang politik kerana mereka kelompok terbesar yang sering bergelumang dengan bisnes ini. Apabila menyebut kontrak kerajaan, ramai yang agak pesimis dan merasakan mereka bukanlah orang yang sesuai untuk menceburinya kerana ada beberapa perkara yang sering bermain difikiran mereka, antaranya ; mereka tidak kenal orang politik yang boleh menjadi 'kabel utama' dalam bisnes ini, perlu mempunyai modal ratusan ribu ringgit, pelbagai karenah birokrasi, proses pembayaran yang sangat lewat dan sebagainya.
 
             Saya pun masih baru dengan tajuk ini. Memang ada juga menyimpan hasrat pada masa akan datang untuk memperolehi kontrak pembekalan sepertimana yang pernah dilalui oleh taikun besar Syed Mokhtar yang menjadi jutawan melalui perolehan kontrak pembekalan kerajaan. Saya pun seperti insan lain, yang sebelum ini menyimpan persepsi negatif tentang kontrak kerajaan. Namun apabila saya mula meluaskan pembacaan saya dapati ia tidak seteruk itu. Jika anda ingin tahu, terdapat ruang yang sangat LUAS kerana status kita sebagai bumiputera MELAYU ( bukan UMNO yaa ) dalam bisnes kontrak kerajaan berbanding yang bukan melayu. Hanya kerana orang melayu malas membaca dan mengkaji, menyebabkan peluang ini sangat menjadi rebutan oleh bangsa bukan melayu, walaupun terhad, dan mereka sanggup membayar dengan harga yang tinggi. Lebih memburukkan keadaan, sikap suka menongkat mahu senang menyebabkan orang melayu lebih suka menggadaikan segala permit-permit yang mereka miliki kepada bangsa lain sehingga menyebabkan wujud saudagar Ali Baba dengan banyaknya.

Apa maksud perolehan kerajaan?

Secara mudahnya Perolehan Kerajaan adalah bermaksud urusniaga pembelian oleh pihak kerajaan, Ini termasuklah anda membekalkan produk atau perkhidmatan kepad pihak kerajaan dimana kita adalah penjual dan pihak kerajaan adalah pihak yang membeli dari anda. Kontrak kerajaan juga dipanggil perolehan kerajaan, ia dilakukan secara pembelian terus, kontrak pusat, sebut harga, tender dan beberapa cara lain.


             Berita baiknya adalah kita boleh menjual hampir apa sahaja kepada pihak kerajaan. Baik dari segi barangan ataupun perkhidmatan. Ramai diluar sana yang salah anggap apabila menjangkakan bisnes kerajaan ini hanya boleh dilakukan oleh syarikat atau organisasi besar walhal ianya boleh dilakukan juga oleh syarikat kecil perniagaan perseorangan. Yang menariknya anda tidak perlukan premis atau pejabat sebaliknya kita boleh bermula dan beroperasi dari rumah sahaja. . 

          Kita perlu faham bahawa berurusniaga dengan kerajaan adalah satu perniagaan jangka panjang dimana jika anda memberikan perkhidmatan terbaik, kita mungkin akan diberi peluang lagi untuk berurusniaga dengan kerajaan. Anda boleh menjadi kontraktor pembekal dengan menawarkan bekalan seperti alatan pejabat, catering dan lain-lain atau memberikan perkhidmatan seperti membuat laman web, percetakan dan sebagainya. Anda juga boleh menjual alat tulis dan kelengkapan pejabat, bahan bacaan, peralatan komunikasi, cenderamata, alatan muzik, makanan dan minuman, ubat-ubatan dan alatan hospital hingga ke kenderaan dan jentera berat. Perniagaan servis dan perkhidmatan, penyewaan, pembersihan, rakaman video dan fotografi, baik pulih barangan, dobi, pembinaan mahupun penulisan dan pelbagai lagi. Walaupun anda tidak mempunyai produk sendiri anda masih boleh berniaga dengan kerajaan dengan hanya perlu beli dari pembekal kemudian jual kepada kerajaan dan jana untung atas anginDengan menyertai kontrak kerajaan adalah amat mudah untuk membuat keuntungan dengan margin keuntungan sehingga 25% mengikut bekalan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Bagi kontraktor bumiputera pula ada keistimewaan berbanding kontraktor bukan berstatus bumiputera. Perolehan kerajaan akan dikeluarkan oleh agensi dan jabatan kerajaan yang memerlukan bekalan atau perkhidmatan dari kontraktor yang berkelayakan. Terdapat beberapa kelayakan yang perlu dilengkapkan sebelum kita dapat menyertai perolehan kerajaan seperti berdaftar dengan SSM, mempunyai sijil Kementerian Kewangan, mendaftar dengan e-perolehan dan lain-lain mengikut keperluan.

            Usaha yang tidak seberapa ini saya mulakan dengan langkah mencari bahan-bahan bacaan di internet memandangkan kurang berkesempatan berborak dikedai kopi bagi mereka yang ramai kenalan. Baru-baru ini saya memuat turun satu e-book percuma tentang rahsia bagaimana memperolehi kontrak kerajaan dari Khairul Nizam Bakar, yang mempunyai kepakaran dan pengalaman selama lebih 10 tahun dalam menyediakan spesifikasi, mengeluarkan, menerima dan menilai beratus-ratus pembelian terus, sebut harga dan tender kerajaan. Saya berhasrat untuk mengongsikan dengan pembaca namun oleh kerana ia mempunyai 30 mukasurat, saya akan mengongsinya secara berperingkat bagi setiap artikel dalam sebulan. Semoga dengan perkongsian ini kita bersama-sama mendapat manfaat InsyaAllah....

SIRI 1 : SOALAN - SOALAN UMUM

1. Apakah prinsip-prinsip perolehan kerajaan?
Prinsip-prinsip perolehan kerajaan adalah seperti berikut:
(a) Akauntabiliti awam (public accountability)
(b) Diuruskan secara telus (transparent)
(c) Nilai faedah yang terbaik (best value for money)
(d) Saingan terbuka (open competition)
(e) Adil dan saksama (fair dealing)

2. Apakah kaedah-kaedah perolehan kerajaan?
(a) Perolehan melalui panjar wang runcit
(b) Perolehan melalui Kontrak Pusat /Kontrak Panel
(c) Pembelian terus
(d) Perolehan melalui sebut harga
(e) Perolehan melalui tender (terbuka/terhad)

3. Apakah had nilai perolehan melalui panjar wang runcit dan syaratnya?
Had nilai perolehan melalui panjar wang runcit adalah tidak melebihi RM500.00 bagi satu resit pembelian. Perolehan melalui panjar wang runcit adalah untuk kegunaan segera. Tiada dokumen pembelian diperlukan (memadai dengan resit sahaja).

4. Bagaimanakah maklumat mengenai perolehan Kerajaan boleh diperolehi?
Maklumat tawaran perolehan Kerajaan secara tender boleh diperolehi melalui akhbar utama tempatan. Walau bagaimanapun, bagi maklumat tawaran secara sebut harga atau pembelian terus, syarikat boleh berhubung terus dengan Agensi Kerajaan berkenaan atau melihat papan kenyataan/laman web Agensi tersebut. Maklumat juga boleh diperoleh daripada laman web MyGovernment Portal dan MyPROCUREMENT portal.

5. Bagaimanakah sesuatu syarikat/kontraktor layak dan boleh menyertai tender/sebut harga yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan?
Syarikat perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan bagi membolehkannya menyertai tender/sebut harga untuk membekalkan perkhidmatan/barangan di bawah bidang kod yang berkenaan. Bagi syarikat yang ingin menyertai tender/sebut harga yang melibatkan projek kerja, syarikat hendaklah berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) / Pusat Pendaftaran Kontraktor-kontraktor Kerja, Bekalan dan Perkhidmatan Negeri Sabah (PUKONSA) / Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kepala/kelas/gred yang berkaitan.

6. Apakah undang-undang dan peraturan kewangan berkaitan perolehan Kerajaan?
Undang-undang dan peraturan berkaitan dengan perolehan Kerajaan termasuklah:
(a) Akta Acara Kewangan 1957 (Disemak 1972)
(b) Akta Kontrak Kerajaan 1949 (Akta 120)
(c) Arahan Perbendaharaan
(d) Surat-surat Pekeliling Perbendaharaan
(e) Pekeliling-pekeliling Kontrak Perbendaharaan
(f) Surat-surat Arahan Perbendaharaan

7. Apakah dasar-dasar perolehan kerajaan?
(a) Menggalakkan pertumbuhan industri tempatan melalui penggunaan bahan/barangan tempatan dan penggunaan sektor perkhidmatan tempatan.
(b) Mempertingkatkan keupayaan industri tempatan melalui pemindahan teknologi.
(c) Menggalakan penglibatan usahawan Bumiputera, dan
(d) Memelihara dan mempertahankan kepentingan dasar perolehan kerajaan bagi mencapai objektif nasional dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.

8. Apakah Arahan-arahan Perbendaharaan berkaitan perolehan Kerajaan?
Arahan-arahan Perbendaharaan berkaitan perolehan Kerajaan adalah Arahan Perbendaharaan (AP) 166 hingga 206 dan 229 hingga 300. Selain dari AP-AP tersebut, Pekeliling-Pekeling Perbendaharaan (PP), Surat-Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) dan Pekeliling Kontrak Perbendaharaan (PKP) yang dikeluarkan dari semasa ke semasa juga hendaklah dirujuk.

9. Jika Arahan Perbendaharaan, SPP atau PKP tidak dapat dipatuhi oleh kerana sebab-sebab tertentu, apakah tindakan yang perlu diambil?
Semua agensi hendaklah mematuhi peraturan kewangan berkaitan perolehan. Sekiranya agensi tidak dapat berbuat demikian kerana sebab-sebab tertentu, agensi hendaklah mendapatkan pengecualian daripada Kementerian Kewangan (perolehan Persekutuan) atau Pegawai Kewangan Negeri (perolehan Negeri) terlebih dahulu.

10. Bagaimanakah Pekeliling, Surat Pekeliling dan Pekeliling Kontrak Perbendaharaan boleh diperolehi?
Bagaimanakah Pekeliling, Surat Pekeliling dan Pekeliling Kontrak Perbendaharaan boleh diperolehi? Semua Pekeliling, Surat Pekeliling, Pekeliling Kontrak Perbendaharaan dan Surat Arahan Perbendaharaan boleh diperolehi melalui laman web Perbendaharaan di alamat www.treasury.gov.my.

11. Apakah peraturan kewangan mengenai pelawaan kontraktor Kelas F bagi kerja-kerja di bawah RM200,000?
Semua kerja di bawah RM200,000 hendaklah dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera Kelas F yang berdaftar dengan PKK dalam Kepala dan Sub Kepala yang berkaitan sahaja. Pendaftaran kontraktor kelas F adalah dilakukan mengikut daerah dan oleh itu hanya kontraktor dalam daerah berkenaan sahaja boleh ditawarkan kerja di bawah RM200,000.

12. Apakah maksud setiap jenis item?
Setiap jenis item merujuk kepada pembelian terus bekalan dan perkhidmatan sehingga RM50,000 setahun dari mana-mana pembekal tidak kira sama ada pembekalan berdaftar atau tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan sama ada pembekal bertaraf Bumiputera atau tidak. Maksud setiap jenis item boleh ditafsirkan berdasarkan kepada contoh-contoh berikut:

(a) pelbagai alat ganti yang berbeza bagi kenderaan yang sama adalah ditafsirkan sebagai jenis item yang berbeza disebabkan fungsi itemnya yang berbeza. Walau bagaimanapun, alat ganti gunasama atau proprietary item dikira daripada jenis item yang sama walaupun digunakan pada kenderaan yang berlainan;

(b) item pelbagai saiz hendaklah ditafsirkan sebagai satu jenis item sahaja walaupun terdiri daripada saiz yang berlainan kerana ia diperolehi daripada punca bekalan yang sama. Contohnya, pembelian pelbagai saiz paku (1 inci atau 1 ½ inci), cermin, kasut dan bendera; dan

(c) set sofa model ABC adalah merangkumi pelbagai jenis kerusi (sama ada kerusi 1 tempat duduk atau 3 tempat duduk) yang mana terdiri daripada beberapa kerusi dan meja, ditafsirkan kepada satu jenis item. Namun, jika pembelian perabot tersebut terdiri daripada kerusi banquet dan set sofa, maka kerusi banquet dan set sofa dikira sebagai jenis item yang berbeza. Walau bagaimanapun, jika kedua-duanya boleh dibeli daripada pembekal yang sama, agensi hendaklah memastikan kaedah pembelian hendaklah ditentukan berdasarkan nilai keseluruhan.

13. Berapa lamakah dokumen tender/sebut harga perlu disimpan?
Arkib Negara Malaysia (ANM) telah mengeluarkan Jadual Pelupusan Rekod Kewangan dan Perakaunan (JPRKP). Buku tersebut boleh dibeli atau diperoleh daripada laman web ANM. Mengikut muka surat 52 dan 53 JPRKP surat-menyurat mengenai perolehan bekalan, perkhidmatan dan kerja termasuk iklan, dokumen tender, jadual tender dan laporan tender/sebut harga boleh dilupuskan setelah tindakan telah selesai dan rekod dimusnahkan selepas tempoh simpanan 7 tahun setelah mendapat kelulusan ANM.

Bersambung lagi pada siri akan datang....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan