Persaudaraan Kita Sepatutnya Membangunkan Ekonomi Umat
PERSAUDARAAN KITA SEPATUTNYA MEMBANGUNKAN EKONOMI UMAT
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)
Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong antara satu sama lain dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan, nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai‘perkauman’. Suara itu dinyatakan kepada saya kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu sedaya mungkin membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh saudara-saudara muslim kita. Saya katakan; saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor.
Antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama di sudut sebagai kuasa pengeluaran. Sedangkan kita mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi. Juga seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim.
Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu yang memerlukan satu kajian luhur mengenai hal tersebut. Di samping itu, kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. Sama ada disebabkan oleh faktor kualiti, atau perasaan yang lain, saya kurang pasti. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.
Dunia Islam Lemah
Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara umat Islam masih lagi bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak, tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mengujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik Dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan:
“Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”. (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah)
Ini realiti yang berlaku. Maka jangan kita tanya, mengapa ramai ‘pak arab’ yang tabik tidak henti-henti dengan Barat. Ekonomi kebanyakan dunia Islam dijajah. Maruah kita menjadi rendah. Kita hakikatnya hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, namun negara umat Islam ramai yang masih meminta sedekah.
Senjata Ekonomi
Keadaan ini benar-benar mendesak, bahkan kita dalam keadaan darurat yang menuntut agar setiap kita berfikir membantu menaikkan kekuatan ekonomi umat Islam. Dunia hari ini sudah berubah dibandingkan dahulu. Bukan hanya kekuatan persenjataan yang menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara itu terhadap percaturan dunia. Bahkan ekonomi juga memainkan peranan penting dalam menentukan perubahan peta. Firman Allah dalam Surah al-Anfal: 60:
(maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh-musuh umat. Kekuatan yang mesti disiapkan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda adalah salah satu daripadanya yang dapat dilihat oleh manusia di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu. Pada zaman sekarang dari segi persenjataan, senjata-senjata canggih yang wujud pula menduduki tempat tugasan menggerunkan musuh. Maka umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu kekuatan ekonomi juga adalah senjata baru dalam membina kekuasaan di era moden. Kekuatan ekonomi mampu membawa kepada hasrat yang sama iaitu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi di zaman ini adalah satu tuntutan agama.
Produk Muslim
Malangnya kita cuai dan alpa. Kita ketinggalan dan dihina. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Bagi peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan kerajaan-kerajaan umat Islam yang ada.
Agro Bazar
Peranan Akidah
Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah mengujudkan rangkaian ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah islamiyyah) yang kukuh sesama kita. Di atas akidah yang teguh ini jugalah telah menjadikan umat ini dahulunya bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam. Ini rahsia kejayaan umat yang lalu.
Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan yang lain, termasuk dalam bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb:
(Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa Dunia Islam.. kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi,peperangan, pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu‘asir, m.s. 172, Saudi: Muassasah al-Madinah)
Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedang ini adalah sesuatu yang dituntut: Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadith ini, Nabi S.A.W. memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta perasaan mengambil berat sesama antara satu sama lain. Baginda S.A.W. memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas:
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan.( Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi` wa Qawa‘id ‘Ammat, m.s. 134, Beirut, Dar al-Fikr).
Persaudaraan Islam
Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasululuh S.A.W. demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuh dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Sabda Nabi s.a.w :
“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tolong menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Namun sekira ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah dari orang lain dan Islam akan dipandang hina. Dr Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith di atas, menyebut:
Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, dia semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa. (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, 1/ 199, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita akan menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita ingin mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?.
Malanglah bagi kita ini jika sekadar tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran. Bahkan dalam soal ekonomi, jika tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Ukhuwwah Islamiyyah lebih penting. Sebab itu saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.
Gambar Hiasan
Kekuatan Kita
Sekiranya kesedaran ukhuwwah islamiyyah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Ini saya katakan berdasarkan faktor-foktor berikut:
Kuasa Membeli Yang Tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada -secara kelompok- mereka memiliki kuasa membeli yang tinggi. Ini kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa
Isu Halal Haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal telah menimbulkan keresahan kebanyakan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal berdikari dalam menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.
Ketegangan Yang Wujud : Ketegangan yang wujud sekarang antara Blok Barat dan umat Islam boleh membantu ke arah mengujudkan umat yang lebih memiliki jatidiri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab ramai yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.
Jika ukhuwwah Islamiyyah itu benar-benar dapat digilapkan sehingga ke peringkat penghayatan dalam bidang ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jatidiri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh yang besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa. Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim di zaman ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan