Wakaf atasi rakus liberalisasi
25 Mac 2013
SAYA bersyukur sewaktu memegang jawatan CEO di JCorp berkesempatan mewakafkan saham milik JCorp melalui konsep Waqaf Korporat membabitkan saham bernilai RM250 juta; iaitu RM200 juta saham Kulim Malaysia Bhd, KPJ Healthcare Bhd dan Sindora Bhd pada Ogos 2006, dan RM50 juta membabitkan 61 peratus saham syarikat TPM Management Sdn Bhd, pemilik kompleks beli-belah Larkin Sentral di Johor Bahru 31 Disember, 2007.
Semua saham wakaf didaftar atas nama Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp), syarikat jaminan yang JCorp tubuhkan. WANCorp diberi amanah dan kuasa mutawalli oleh penguasa agama negeri bertanggungjawab sepenuhnya uruskan langsung saham wakaf terbabit.
Alhamdulillah, pada akhir 2011, nilai saham wakaf WANCorp meningkat berlipat ganda kepada RM538.5 juta, bukti nyata potensi Waqaf Korporat berkembang menjadi korporat berwibawa membina ekonomi bangsa dan berkekalan membela martabat serta kesejahteraan umat.
Atasi ancaman liberalisasi
Paling penting, kaedah wakaf memberi pilihan penswastaan Islamik syarikat GLC. Jelas sekali kaedah penswastaan konvensional berteraskan doktrin liberalisasi ekonomi ciplakan Barat diamal sejauh ini tidak disenangi ramai kerana ia menguntungkan segelintir individu, kroni atau kerabat terpilih, sekali gus melebarkan jurang kaya-miskin dalam masyarakat.
Kejayaan WANCorp mencerahkan prospek Waqaf Korporat menjadi institusi penegak keadilan ekonomi. Bayangkan jika bahagian besar saham milik semua GLC negeri dan pusat diwakafkan.
Waqaf Korporat juga boleh membabitkan penyertaan masyarakat ramai menerusi wakaf wang tunai dan harta, termasuk pusaka. Apabila digembleng kesemua sumber wakaf ini, himpunan aset dan dana wakaf dapat diguna untuk membina dan terajui bisnes strategik bertujuan akhirnya memperkasa ekonomi untuk kemakmuran dan kesejahteraan jangka panjang umat.
Bayangkan jika saham majoriti milik JCorp dalam syarikat KFC diwakafkan kepada WANCorp. Pasti syarikat dan jenama KFC kesayangan bangsa dan kebanggaan umat, iaitu satu-satunya rangkaian restoran terbesar makanan halal milik umat Islam di rantau Asean dan India, dapat dilindungi daripada menjadi mangsa kerakusan swasta. Sungguh malang jika sebaliknya KFC diswastakan dan bisnes perkasanya terlepas selama-lamanya daripada milik JCorp dan kawalan umat, cuma kerana menurutkan hawa nafsu individualistik segelintir anak bangsa sendiri!
Jangan biarkan KFC 'ditelanjangkan'
Dalam amalan kapitalis global, ramai peneraju korporat super-kaya “terbang tinggi” umpama Superman, hingga langsung lupa daratan. Keutamaan Superman korporat ialah membolot harta kekayaan dan memaksimumkan untung segera peribadi tanpa peduli kepentingan bangsa dan umat; juga tanpa mempedulikan nasib masa depan warga kerja syarikat sekalipun. Jika dalam proses liberalisasi pekerja hilang punca rezeki, itu bukan tanggungjawab Superman.
Fokus Superman, kerabat dan kroni memburu untung segera menghimpun ringgit berjuta. Superman tidak akan ragu bersekongkol liberalisasi kapitalis Barat, melonjakkan keuntungan dengan apa cara untuk mengaut dividen besar. Bagi syarikat tersenarai, dia akan meningkatkan harga saham melambung tinggi; sementara syarikat tidak tersenarai pula akan melonjakkan nilai aset supaya saham syarikat dapat dijual kemudiannya melipatgandakan kekayaan peribadi.
Dalam amalan kapitalis liberal liar dan buas lagi rakus ini, salah satu kaedah melipatgandakan keuntungan segera kerap diamalkan ialah “memecah dan memerah” aset dan “menelanjangkan” syarikat iaitu “asset stripping”.
Kaedah ini mudah dilakukan di KFC, misalnya dengan memisahkan bisnes ternakan dan pemprosesan ayam dan menjualnya kepada pihak ketiga. Dengan cara memecah KFC seperti ini, diikuti tindakan memerah, jual bisnes ternakan dan pemprosesan ayamnya, KFC dengan mudah dapat meningkatkan kadar keuntungan besar dan pulangan segera.
Untuk memaksimumkan untung selanjutnya, tidak hairan jika kemudiannya penguasa KFC mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal paling murah di pasaran. Bahayanya, ini boleh mengkompromikan halal-haram sembelihan dan pemprosesan ayam. Ia juga boleh dilakukan tanpa mempedulikan kemungkinan terjejasnya masa depan penternak ayam di bawah jaringan bisnes KFC, termasuk ramai penternak Melayu-Muslim di seluruh negara.
Tidak hairan juga jika Superman penguasa KFC akan menyusun strategi “menelanjangkan” syarikat. KFC boleh “ditelanjangkan” setelah struktur milik sahamnya di “strip” dan disusun semula bertujuan menswastakannya kepada individu tertentu tanpa disedari masyarakat ramai.
Penelanjangan dan penyusunan semula mudah dilakukan menerusi dua kaedah sekali gus:
Pertama, apabila sebahagian saham KFC dijual kepada firma venture capital yang boleh menjadi proksi atau kroni Superman di belakang tabir. Kemudiannya, selaras menepati sifat asasi venture capitalist, saham dijual sebaik sahaja mencatat pulangan lumayan, mengakibatkan KFC akhirnya dimiliki dan dikuasai orang lain, termasuk pemilik asing.
Kedua, adalah lebih mudah menelanjangkan KFC jika ia dinyahsenaraikan (“delisted” atau “taken private”) terlebih dahulu. Tujuannya supaya semua tindakan memecah dan memerah KFC dapat dilakukan tanpa perlu diisytiharkan dan tanpa disedari masyarakat besar. Dengan kaedah ini juga keuntungan segera peribadi dapat dibolot tanpa banyak soal oleh sesiapa.
Zuhud ekonomi atasi liberalisasi
Sejarah pembangunan korporat negara terlalu banyak memperlihatkan tragedi kebocoran dan kehilangan hak milik aset dan bisnes strategik bangsa akibat dasar penswastaan dan amalan meliberalisasikan ekonomi mengikut model kapitalis rakus, liar dan buas. Sehingga terdapat peristiwa bisnes strategik terpaksa ditebus kembali dan dibeli balik kemudiannya dengan harga sangat mahal, seperti berlaku dalam kes bisnes perubatan pakar milik Pantai Holdings Bhd.
Kesimpulannya, menciplak penswastaan dan meliberalisasikan ekonomi lebih banyak mudarat daripada manfaat. Lagi pun menciplak kaedah musuh atau lawan berlainan nilai hidup, fahaman agama dan landasan tamadun boleh menyebabkan iman dan akidah terhakis setelah pegangan halal-haram dikompromi, akhlak dan jiwa diracuni. Akhirnya seluruh kehidupan masyarakat dirosakkan, umat berkonflik sesama sendiri tanpa kesudahan dan tamadun Islam musnah setelah kita turut menjadi rakus, individualistik, materialistik dan nafsu-nafsi.
Kemenangan sejati bangsa Melayu dan umat Islam menguasai ekonomi mesti menerusi kaedah memperkasa iman dan akidah, bukan sebaliknya. Kemangkinan atau feasibiliti kaedah ini tidak perlu diragui kerana terdapat banyak contoh kejayaan di Malaysia dan juga dunia Islam, termasuk pencapaian JCorp membina bisnes menguasai aset korporat bernilai melebihi RM20 bilion hari ini atas landasan Jihad Bisnes, tanpa penswastaan, MBO atau stock option.
Tegasnya, yang dituntut untuk kejayaan umat ialah pengorbanan diri atau 'selflessness'. Mewakafkan harta dan saham dan tidak menswasta, 'memfaraid' atau memperibadikan hak milik masyarakat bukti nyata 'selflessness'. Justeru, amalan berwakaf dalam bisnes untuk membina keperkasaan korporat umat perlu diinstitusikan menerusi institusi Waqaf Korporat.
Dalam kata lain, umat Islam perkasa dan kebal hanya setelah berani menidakkan dunia, iaitu berpegang kepada falsafah zuhud Islam. Namun, bagi ahli bisnes dan warga korporat Muslim, zuhud yang diperlukan bukan anti harta kekayaan dan menjauhi atau membenci bisnes.
Yang diperlukan ialah zuhud mengikut definisi ulama besar Dr Yusof Al Qardhawi dalam bukunya: “Kemiskinan dan cara Islam mengatasinya”. Kata beliau: “Hadith-hadith yang memuji tentang zuhud (menjauhkan diri daripada kehidupan dunia) sama sekali tidak bermaksud memuji kemiskinan. Sebab usaha berzuhud itu sendiri menuntut seseorang memiliki kemewahan dunia dan meninggalkannya. … Orang yang benar berzuhud ialah yang miliki dunia, tetapi ia meletakkan dunia dalam genggaman tangannya, bukan dalam hatinya.”
Sumber > Sinar Harian

Tiada ulasan:
Catat Ulasan