Isnin, 20 Mei 2013

GARIS PANDUAN STANDARD MATAWANG YANG SAH OLEH BANK NEGARA MALAYSIA

            Seringkali ketika berurusniaga mahu atau tidak pasti kita tidak terlepas dari menerima wang yang telah rosak. Samada kita sebagai peniaga atau pelanggan, begitulah seringkali proses kitarannya berlaku, bermula dari si 'perosak' wang kemudian dipindahkan kepada peniaga dan peniaga pula memindahkan pula kepada pelanggan semula. Bagi peniaga, seringkali kesibukan urusniaga tidak memungkinkan mereka membelek satu persatu helaian wang kertas yang diterima. Bagi pelanggan pula, samada faktor usia penglihatan atau mengejar masa menyebabkan mereka tidak mungkin meneliti wang baki yang di beri oleh peniaga.
                     
( Sehelai dari puluhan helai yang saya simpan, dari RM 1,RM 5 dan paling tinggi RM10)

           Tidak kiralah dari mana kita menerima wang itu, apa yang membuatkan kita geram ialah     'tangan' yang men'jahanam'kan wang itu telah me'lepas'kan wang itu dalam peredaran wang semasa. Samada disebabkan kejahilan, atau sengaja 'gatal tangan', mereka telah menyebabkan sekian banyak individu yang menanggung kerugian bilamana wang yang berada ditangan sudah tidak dapat diedarkan lagi disebabkan faktor amanah atau sudah tidak dapat di'lepas'kan. Menyimpan wang ini memang membebalkan bilamana kerosakan yang diakibatkan oleh kesan conteng tidak dapat diterima oleh bank-bank biasa sebaliknya hanya wang lusuh atau koyak sahaja yang diterima. Memang Bank Negara ada menyediakan khidmat pertukaran terhadap semua jenis kerosakan ( seperti yang tertera dalam syarat & garis panduan ) tetapi cawangan Bank Negara di Malaysia hanya ada lima sahaja. Bagi tempat saya di Taiping yang terdekat ialah di Pulau Pinang !! adakah semata-mata sekadar puluhan ringgit nilai yang disimpan maka saya perlu kesana untuk membuat pertukaran/penggantian??!! 

           Dari pemerhatian saya, hampir sebahagian besar dari wang terkoyak diakibatkan oleh golongan berusia yang tidak menyimpan wang dengan kemas manakala wang conteng kerap diakibatkan oleh golongan remaja dan bawah umur. Jadi di ruangan ini saya berharap sangat agar kita sama-sama mengambil berat terhadap wang yang ada ditangan kita kerana ia bukan selamanya disimpan ditangan kita sebaliknya ia akan diserah kepada pihak lain dalam hidup kita. Ia sangat berkait rapat dengan amanah yang dituntut Islam kerana apa hukumnya bila kita menyerahkan wang yang 'tidak sah nilai' apabila kita berurusniaga sudah tentu hak pemilikan keatas barangan yang kita beli juga tidak sah...fikir-fikirkanlah....  


BACA : GARIS PANDUAN STANDARD MATAWANG BNM




PERBEZAAN KICAP CAP KIPAS UDANG TIRUAN DAN ASLI EHSAN DARI PIHAK ZARAFOODSTUFF


             Cerita tentang produk runcit tiruan memang dah selalu kedengaran. Alhamdulillah dizaman internet ni penerangan berkenaan barangan tiruan menjadi mudah. Pengguna boleh memanfaatkan email untuk berbalas-balas info dengan pengeluar tentang bagaimana mengenal pasti ciri-ciri produk asli dan tiruan. Rasanya bagus kalau di blog dapat dibuat sudut khas sebulan atau dua bulan sekali untuk mengenengahkan produk-produk dipasaran yang kerap di'ciplak', InsyaAllah saya akan berusaha kearah itu. Sebagai permulaan saya ketengahkan dulu Kicap Kipas Udang yang memang kerap menjadi mangsa 'ciplak'. 

             Walaupun dah banyak blog yang mengongsi maklumat tentang beza antara Kicap Kipas Udang tiruan dan asli namun saya rasa tidak keberatan untuk mengongsi kerana pada saya usaha ini sepatutnya disebarkan seluas-luasnya memandangkan ia adalah produk kebanggaan usahawan muslim yang kita bantu sedaya upaya. Kita menyatakan sokongan bukan sekadar membeli produk, tetapi turut menyebarkan maklumat-maklumat penting yang boleh membantu perniagaan umat Islam kita berdiri teguh seiring dengan persaingan dari produk non-muslim. Artikel ini ditulis oleh pemilik blog Teratakarmo yang mengirim pertanyaan melalui email kepada pihak pengurusan Zara Foodstuff sdn bhd. Moga dengan perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua...

ASSALAMUALAIKUM
Yang Dihormati En Azhar Ramli, merujuk emel saudara, pihak ZARA disini sebenarnya telah mengesan kewujudan kicap tiruan ini (botol kecil sahaja)  sejak bulan September dan kami tidak membuat publisiti yang meluas berkenaan perkara ini kerana ingin menangkap dalang sebenar yang menjalankan kegiatan ini.  Alhamdullialh setakat ini kami telah mengesan beberapa pengedar haram tetapi masih gagal lagi mengesan dalang yang terlibat.
Untuk pengetahuan saudara Azhar sebagai rasa tanggung jawab pihak kami telah membuat bancian disemua kedai runcit dan mini market diseluruh Malaysia bermula pada bulan September dan telah berkerjasama dengan pihak KPDN untuk memberi amaran  dan merampas kicap tiruan daripada peruncit telibat.

Untuk  jangka pendek bagi mengurangkan impak kepada pengguna pihak kami telah membuat pembaharuan kepada capseal dan label untuk memudahkan pengguna membuat perbandingan diantara kicap tiruan dan asli. Produk dengan Label baru digunakan bermula pada penghujung September hingga kini dan boleh didapati di Hypermarket dan semua kedai-kedai yang lain.

Jika pengguna masih menjumpai produk kicap dengan label lama (Capseal hitam) sila buat perbandingan seperti gambar yang dilampirkan disini sebelum membuat pembelian. Pihak kami mendapati dari segi pembungkusan, 98% peniruan sama  dengan yang asli menjadikan pengguna susah untuk melihat perbezaan.
Dari segi rasa memang tidak sama kerana produk tiruan banyak mengunakan air biasa, pewarna dan bahan pemekat , gula serta garam dan tiada rasa lemak (Umami). Berbanding produk asli yang menggunakan peraman ekstrak kacang soya yang mempunyai rasa lemak(umami) seakan rasa monosodium glutamate(ajinomoto).

Oleh itu pihak kami sekali lagi  sangat mengalu-alukan peranan Saudara Azhar untuk menyebarkan maklumat ini kepada pengguna  setia kami yang lain. Kerjasama saudara amat kami hargai.
Ok kata bawah ni ditunjukkan bahagian yang pengguna kena lihat untuk memastikan produk yang dibeli Asli atau Tiruan.

        

        

         

Rasa produk tiruan adalah sangat berbeza dari produk asli. Produk tiruan mempunyai rasa kurang MANIS, BERBAU MAUNG DAN DIPEKATKAN DENGAN MENGGUNAKAN BAHAN PEMEKAT(TEPUNG) DAN WARNA YANG AGAK CERAH.  Terima Kasih Sekali lagi kepada pihak Pengeluar atas Maklumat yang telah dikongsikan.

Khamis, 2 Mei 2013

SELAMAT MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB MENGUNDI PADA 5 MEI


           SELAMAT MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB MENGUNDI PADA 5 MEI  


            Salam sejahtera buat para pembaca...demam pilihanraya sudah semakin hampir. Hanya ada dua hari sahaja lagi untuk kita menghadapi pilihanraya umum 2013 yang paling sengit dalam sejarah. Saya sendiri dalam kesibukan sepanjang bulan April hanya sempat mengirim satu artikel sahaja kerana sibuk dengan tugas membuat culaan undi. Namun alhamdulillah, selepas semuanya selesai kini saya boleh menarik nafas lega dan boleh menyambung semula fokus untuk menulis blog, itupun masih terhad iaitu bukan dari hasil penulisan sendiri hanya sekadar berkongsi bahan dari blog orang lain. Masih ada tugas yang perlu diberi perhatian untuk kali terakhir sebelum hari pengundian tiba iaitu PACA, kerana saya perlu memahami undang-undang dan peraturan pilihanraya sebelum bertugas sebagai Ejen Tempat Mengundi.

            Hari ini semua orang kecoh apabila dakwat yang didakwa SPR kekal rupanya tidak kekal apabila didedahkan oleh segelintir anggota keselamatan yang mengundi awal sebagai pengundi pos. Bukti video di Youtube menunjukkan bagaimana demonstrasi menghilangkan dakwat oleh anggota keselamatan yang telibat hanya menggunakan peluntur. Kewibawaan dan kredibiliti SPR dipertikaikan dan menjadi bahan perdebatan.   
Apa tidaknya, kerana Pengerusi SPR dalam sidang medianya memberitahu bahawa kecuaian itu mungkin diakibatkan oleh petugas SPR yang tidak menggoncangkan botol dakwat. Tindakan ini mengundang banayak kritikan dari pemerhati politik.

            Apapun, kita mengharapkan yang terbaik untuk pilihanraya kali ini. Siapa yang diberi mandat, laksanakanlah tanggungjawab sebaiknya untuk kedaulatan agama, kemaslahatan rakyat dan keadilan sejagat. Pemimpin silih berganti namun perjuangan tetap diteruskan demi kebaikan negara dan rakyat. 


BAI' SALAM (بيع السلم)


Bai' al-Salam (بيع السلم)

Pengenalan

Al-Salam dari sudut bahasa (اللغة) ialah al-Salaf (السلف) yang bermaksud (التقديم) iaitu pendahuluan atau mendahulukan. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, Bai’ al-Salam didefinasikan sebagai : Menjual sesuatu yang dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan lafaz al-Salam atau al-Salaf. Di dalam al-Fiqh ‘ala Mazahib al-‘Arba’ah menyatakan al-Salam ialah bahasa penduduk Hijaz, manakala al-Salaf ialah bahasa penduduk Iraq.

Sayyid Saabiq di dalam bukunya Fiqh al-Sunnah menyebut al-Salam dinamakan juga sebagai al-Salaf. Ianya penjualan sesuatu dengan dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan bayaran segera. Di bahagian nota kakinya disebut, (al-Salam yang dinamakan juga al-Salaf) diambil dari perkataan al-Taslif (التسليف) iaitu al-Taqdiim (التقديم - Pendahuluan) kerana harganya didahulukan kepada penjual.

Di dalam buku Fiqh dan Perundangan Islam, Bai’ al-Salam didefinasikan sebagai menjual sesuatu yang bertangguh dengan yang segera, ataupun menjual suatu yang disifatkan dalam tanggungan, iaitu dengan mendahulukan harga dan menangguhkan barangan untuk ke suatu tempoh. Dengan perkataan lain, ia menyerahkan tukaran yang ada untuk tukaran yang ditetapkan sifatnya dalam tanggungan sehingga ke suatu tempoh.

Ulama mazhab Syafie dan Hanbali mendefinasikannya sebagai satu akad ke atas suatu perkara yang disifatkan dalam tanggungan serta bertangguh dengan harganya diterima di dalam majlis ‘akad berkenaan. Ulama Maliki pula mendefinasikan sebagai “jualan yang didahulukan harga dan ditangguhkan barangan ke suatu tempoh.”

Para fuqaha’ (الفقهاء) menamakan juga Bai’ al-Salam ini sebagai al-Mahaawiij (المحاويج – Barang-barang yang diperlukan), kerana ia adalah jualan sesuatu yang tidak ada (غائب) di dalam majlis jual-beli, dimana kedua-dua pihak yang melakukan jual beli memerlukan antara satu sama lain. Pemilik wang (صاحب رأس المال) memerlukan barang jualan, manakala pemilik barang (صاحب السلعة) memerlukan wang. Maka ini termasuk dalam maslahat keperluan. Pembeli disebut sebagai al-Muslim (المسلم) atau pemilik al-Salam (رب السلم) iaitu yang menyerahkan bayaran, dan penjual disebut sebagai al-Muslam ‘Alai (المُسلمُ عليه), dan barang yang dijual disebut sebagai al-Muslam fiih (المسلم فيه), dan harganya disebut sebagai Ra’su Maal al-Salam (رأس مال السلم).

Maka Bai’ al-Salam atau al-Salaf adalah jual beli secara tempahan, dimana pembeli menempah barang dan melunaskan harganya. Manakala penjual menerima bayaran dan barangan yang ditempah akan diserahkan kepada pembeli dalam suatu tempoh tertentu.

Dalil-Dalil Pensyariatan

Asas pensyariatan ‘aqad Bai’ al-Salam terdapat di dalam al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ ulama.

Al-Quran

Di dalam al-Quran terkandung ayat berhubung dengan penghutang, iaitulah di dalam surah al-Baqarah ayat 282, Allah swt berfirman :

Maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu…” (al-Baqarah : 282)

Al-Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim menyebut satu riwayat dari Ibn ‘Abbas r.’anhuma, dimana ketika beliau menafsirkan ayat ini, Ibn ‘Abbas berkata :

“Aku bersaksi bahawa al-Salaf (Bai’ al-Salam) yang terjamin untuk suatu tempoh yang tertentu telah dihalalkan oleh Allah dan telah diizinkan padanya, kemudian beliau membaca (ayat di atas).”

Ayat ini (al-Baqarah : 282) dijadikan dalil bolehnya jual beli salam menurut syara’ kerana ia termasuk dari jenis hutang. Ayat tersebut menerima dan membenarkan hutang, dengan itu jual beli salam juga dibenarkan (al-Fiqh al-Manhaji. ms. 46)

al-Sunnah

Ibn ‘Abbas r.’anhuma meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw setelah tiba di Madinah, dalam keadaan penduduk Madinah mengamalkan tempahan terhadap buah untuk tempoh setahun, dua tahun atau tiga tahun. Lalu Baginda saw bersabda :

مَنْ أَسْلَفَ فِيْ شَيْءٍ فَلْيُسْلِفْ فِيْ كَيْلٍ مَعْلُومٍ, وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ إلى أجَلٍ مَعْلُوْمٍ (رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya : “Sesiapa yang menjual beli sesuatu (secara) salaf (salam), hendaklah dia lakukan jual beli salaf (salam) dengan sukatan yang termaklum dan timbangan yang termaklum bagi tempoh yang juga termaklum.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sayyid Saabiq di dalam Fiqh al-Sunnah menukilkan perkataan Ibn al-Munzir (ابن المنذر) yang berkata : “Telah sepakat orang-orang yang kami ambil (ilmu) daripadanya dari kalangan ahli ilmu (ulama), bahawa al-Salam adalah harus.”

Selain dalil dari ayat al-Quran dan al-Hadith di atas, Bai’ al-Salam juga bertepatan dengan kaedah-kaedah syara’ dan ia tidak bertentangan dengan qiyas. Sebagaimana diharuskan menangguhkan bayaran dalam jual beli, maka demikian juga menangguhkan barang dalam jual beli al-salam juga dibenarkan tanpa dibezakan antara keduanya. Seperti hutang yang diharuskan. Selama sifat-sifat barang diketahui dengan jelas dan berada dalam tanggungan dan pembeli menyakini akan dipenuhi oleh penjual, maka ia termasuk keharusan di dalam ayat 282 dari surah al-Baqarah tersebut.

Bai’ al-Salam tidak termasuk larangan Nabi saw, tentang tidak bolehnya seseorang menjual sesuatu yang tidak ada padanya. Ibn ‘Abbas berkata :

“Dan ia (Bai’ al-Salam) tidak termasuk dalam larangan Rasulullah saw, dari seseorang menjual apa yang tidak ada di sisinya sepertimana sabda baginda saw :

لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ (أخرجه أحمد و أصحاب السنن وصححه الترمذي وابن حبان)

Maksudnya : “Jangan kamu menjual sesuatu yang tidak ada di sisi kamu.” (Riwayat Ahmad, dan Ashab al-Sunan, dan disahihkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Hibban)

Larangan yang dimaksudkan di dalam hadith ini ialah seseorang menjual barang yang ia tidak dapat menyerahkannya dan bukan miliknya. Sehingga jual beli itu menjadi gharar (penipuan). Adapun Bai’ al-Salam yang disifatkan (barangannya) dan dijamin dalam tanggungan, disertai dengan sangkaan yang kuat (غلبة الظن) ianya dapat dipenuhi pada waktunya, maka ia tidak termasuk dalam larangan hadith di atas. Disamping itu orang ramai memerlukan ‘akad ini, kerana pemilik tanaman, buah-buahan dan perniagaan sangat memerlukan kepada perbelanjaan untuk mereka ataupun tanaman mereka dan sebagainya sementara menanti buahnya masak. Maka Bai’ al-Salam diharuskan bagi memenuhi keperluan mereka, bagi memberikan kelonggaran dan kemudahan kepada orang ramai.

Rukun Bai’ al-Salam

Kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan terdapat empat rukun Bai’ al-Salam.

1- al-‘Aaqidaan (العاقدان) iaitu pihak yang mengikat perjanjian, mereka terdiri dari pembeli dan penjual. Pembeli ialah orang yang mendahulukan wangnya untuk mendapatkan barang dagangan (السلعة) yang dikehendakinya. Pembeli disebut sebagai al-Muslim (المُسلِم) atau pemilik al-Salam (رَبَّ السَلَمِ) iaitu yang menyerahkan atau mendahulukan bayaran. Manakala penjual ialah orang yang menerima wang sebagai bayaran kepada barangan yang akan diberikannya. Ia namakan sebagai al-Muslam Ilai (المُسلَم إليه). Pembeli dan penjual ini disyaratkan sama seperti syarat penjual dan pembeli dalam ‘akad jual beli iaitulah berakal, baligh, sukarela dan seumpamanya.

2- Al-Sighah (الصيغة) iaitu ijab (الإيجاب : Penawaran) dan qabul (القبول : Persetujuan). Sebagai contoh pemilik modal berkata : Saya dahulukan kepada kamu (أسلفتك) RM 1,000.00 ini untuk mendapat 1000 helai baju dengan sifat-sifatnya seperti berikut. Sementara penerima pula berkata : Saya terima pembayarannya (قبلت), atau Saya terima pembayaran yang didahulukan ini (استسلفت), atau seumpama dengannya. Satu pendapat di dalam mazhab al-Syafie menyatakan sighah mesti menggunakan perkataan salam atau salaf sahaja. Tidak sah jika menggunakan perkataan lain. Ini kerana ‘akad salam tidak sama dengan jual beli biasa. Namun satu pendapat yang lain mengatakan jika menggunakan sighah jual dan beli juga sah kerana Bai’ al-Salam juga adalah salah satu daripada bentuk jual beli yang memerlukan penerimaan dalam majlis ‘akad.

3- Ra-s al-Maal (رأس المال) iaitu modal atau harga. Ia bayaran yang dibuat oleh pembeli sebagai mendahulukan bayaran kepada penjual.

4- Al-Muslam fih (المسلم فيه) iaitu barang yang ditempah. Ianya barangan yang dijual dalam perjanjian dan penjual berjanji untuk menyerahkannya kepada pembeli dari bayaran harga yang didahulukan.

Syarat Bai’ al-Salam

Dalam ‘aqad al-Salam dikenakan beberapa syarat. Antaranya berkaitan dengan harga tempahan atau bayaran (رأس المال), yang lainnya berkaitan dengan barang yang dijual dengan al-Salam (المسلم فيه). Ulama empat Mazhab telah sepakat bahawa Bai’ al-Salam ini sah dengan enam syarat, iaitu :

1- Hendaklah ia diketahui jenisnya.

2- Hendaklah diketahui sifatnya.

3- Hendaklah diketahui jumlahnya.

4- Tempoh penyerahan ditentukan.

5- Mengetahui kadar nilai harganya.

6- Hendaklah tempat penyerahannya dimaklumi jika membawa barang tempahan ke sana memerlukan perbelanjaan.

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut syarat-syarat Bai’ al-Salam seperti berikut :

1- Barang tersebut mestilah boleh dinyatakan sifat-sifat dan ciri-cirinya.

2- Barang tersebut diketahui jenis, kualiti, jumlah dan sifat oleh kedua-dua pihak. Bagi jenis contohnya gandum atau bali. Kualiti seperti barangan tempatan atau import. Jumlah seperti1,000 gantang jika mengikut sukatan, atau mengikut timbangan jika boleh ditimbang, mengikut bilangan jika boleh dikira atau dengan ukuran jika boleh diukur. Untuk sifat pula contohnya dinyatakan warna, ukiran atau acuan, tebal atau nipis, atau sifat-sifat lain yang berbeza-beza mengikut kehendak pengguna.

3- Barangan tersebut tidak bercampur aduk dengan barang lain yang berlainan jenis. Dan kadar campuran tidak dapat diketahui dengan jelas. Jika kandungan campuran dan kadar setiap campuran dapat diketahui, jual beli salam adalah sah.

4- Barangan tersebut mestilah diperhutangkan, iaitu barang yang disebut sifat-sifatnya dalam tanggungan, tanpa merujuk kepada barangan tertentu.

5- Barang tersebut mampu diserahkan, berdasarkan tempoh dan jenis yang ditetapkan. Dan menurut sangkaan berat, jenis yang ditetapkan itu akan wujud pada masa yang ditetapkan. Jika jual beli salam tersebut membabitkan barangan yang biasanya tidak wujud pada masa yang ditetapkan, contohnya buah anggur dalam musim sejuk atau buah kurma atau sebagainya, maka jual beli salam itu tidak sah.
Jika barangan yang dijual secara jual beli salam mudah didapati, tetapi tidak berjaya diperolehi pada masa yang ditetapkan, perjanjian (al-Salam) tersebut tidak terbatal. Pembeli boleh membuat pilihan samaada menunggu sehingga barang yang ditempah wujud atau membatalkan perjanjian tersebut dan mengambil semula modal atau harga yang telah dibayar, tanpa kurang dan lebih.

6- Tempoh penyerahan perlu ditetapkan. Tempoh penyerahan perlu dihadkan dalam tempoh tertentu yang dimaklumi bersama. Contohnya pembeli berkata : “Saya serahkan RM 1,000.00 untuk 10 helai baju yang mempunyai spesifikasi seperti berikut dengan syarat anda serahkan barangan tersebut kepada saya selepas sebulan dari tarikh kontrak ini atau pada awal bulan hadapan”. Jika tiada sebarang tempoh yang dinyatakan atau ada tempoh dinyatakan tetapi tidak dinyatakan dengan tepat, contohnya pembeli berkata : “Barangan tersebut hendaklah diserahkan pada masa si fulan pulang dari musafirnya.” Maka kontrak ini tidak sah kerana tempoh di sini tidak dinyatakan dengan jelas. Ini kerana masa si fulan itu kembali tidak diketahui dengan tepat. Akibatnya akan berlaku perselisihan dan perbalahan tentang tempoh yang dimaksudkan oleh kedua-dua pihak. Dalil dalam perkara ini ialah hadith Nabi saw yang bermaksud : “Hingga ke tempoh yang dimaklumi.”

Jika penjual membawa barang yang ditempah sebelum tempoh yang ditetapkan, pembeli boleh mengambil barang tersebut dengan syarat tiada sebarang perbelanjaan atau bebanan yang perlu ditangung dalam baki tempoh yang dipersetujui. Pembeli juga tidak mempunyai alasan untuk tidak menerimanya. Namun jika barangan tersebut mempunyai sebab yang dibenarkan syara’ untuk pembeli tidak menerimanya awal dari waktu yang telah ditetapkan, seperti memerlukan tempat penyimpanan dan pembeli ketiadaan tempat, atau barangan tersebut adalah haiwan yang perlu diberikan makan, atau ketika itu berlaku banyak kes rompakan dan pembeli bimbang keselamatan barangnya. Maka pembeli tidak boleh dipaksa untuk menerima barang tersebut dan dia berhak menolaknya.

7- Tempat penyerahan perlu ditetapkan. Ianya bergantung kepada persetujuan bersama diantara pembeli dan penjual.

8- Jumlah (قدرا) dan bentuk (صفة) pembayaran hendaklah dimaklumi oleh kedua-dua pihak. Sebagai contoh bayaran yang dibuat sebanyak RM1,000.00 atau RM 2,000.00. Demikian juga perlu menjelaskan sifat barang tersebut seperti kualiti.

9- Penyerahan harga dari pembeli di dalam majlis perjanjian dan penjual menerima (القبض), sebelum mereka berpisah. Kerana penyerahan inilah makna asal Bai’ al-Salam. Jika tidak ada penyerahan awal, maka jadilah jual beli ini menjual hutang dengan hutang yang tidak dibenarkan.

Kontrak Jual Beli Tempahan (عقد الاستصناع)

Termasuk di dalam bab Bai’ al-Salam ialah jual beli tempahan. Iaitu seseorang meminta seseorang yang mempunyai kemahiran membuat sesuatu berdasarkan ciri-ciri tertentu yang berkaitan dengan kemahirannya. Dan bahan yang diperlukan disediakan oleh pembuat.

Kontrak ini diamalkan secara luas pada zaman ini. Sebagai contoh seseorang meminta dari tukang kasut untuk membuatkan kasut untuknya, dan segala bahan yang diperlukan disediakan oleh pembuat kasut tersebut dan bukan penempah. Demikian juga halnya bagi orang yang menenpah peralatan kayu untuk dibuat perabut dan seumpamanya. Termasuk juga di dalam kategori ini, jual beli rumah yang disediakan oleh pemaju.

Secara umumnya, jika kontrak ini memenuhi syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam jual beli Salam, seperti spesifikasi barangan dinyatakan dengan jelas, bahan yang digunakan juga dinyatakan dengan jelas, tempoh penyerahan dinyatakan dengan jelas, bayaran diserahkan ketika kontrak dimeterai di samping syarat-syarat lain. Maka jual beli ini dikira sah sebagai sebahagian dari jual beli Salam. Kerana kontrak tersebut diambil kira dengan niat bukan bergantung kepada lafaz. (al-Fiqh al-Manhaji)

Realiti yang berlaku hari ini, terutamanya dalam urusan jual beli rumah. Kebiasaannya pembeli tidak membayar harga penuh rumah yang ditempah ketika kontrak dimeterai. Sebaliknya pembeli hanya membayar sebahagian kecil sahaja, dan bakinya akan dibayar secara ansuran bulanan. Jual beli sebegini berdasarkan mazhab al-Syafie adalah tidak termasuk di dalam jual beli Salam dan ianya tidak sah. Namun para ulama mazhab Hanafi membenarkan kontrak sebegini dan mereka berpendapat ianya sah. Ini kerana mengambil kira keperluan orang ramai. Namun dengan syarat kontrak tersebut dinyatakan dengan jelas segala perkara berkenaan barang yang ditempah yang mana jika tidak dinyatakan dengan jelas boleh menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak.

Para penulis kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut : “Berdasarkan ini kami tidak melihat adanya larangan untuk mengambil pandangan ulama mazhab Hanafi ini. Dan hukumnya sah untuk urusan ini sebagai memberi kemudahan kepada orang ramai, tambahan pula orang ramai mmerlukannya, sebagaimana kami nyatakan tadi orang ramai mengamalkan kontrak ini dalam kebanyakan urusan mereka. Malah setiap para Imam dan fuqaha sentiasa berusaha mencari kebenaran dan memberikan kemudahan kepada hamba-hamba Allah mengikut cara yang diredhai oleh Allah dan bertepatan dengan sunnah Nabi saw.”

Demikian juga jual beli rumah berdasarkan plan termasuk dalam kategori ini. Jika kedua-dua pihak mengetahui dengan jelas spesifikasi rumah dan bahan yang digunakan dan sebagainya, dan bayaran diserahkan ketika memeterai kontrak, maka jual beli ini sah dan termasuk dalam jual beli salam.

Kesimpulan

Jual beli al-Salam atau Bai’ al-Salam adalah salah satu cara jual beli yang dibenarkan di dalam Islam. Kebenaran ini dibina di atas dalil-dalil dari al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ dan juga al-Qiyas. Bersesuaian dengan Islam sebagai sebuah agama yang bersifat memberikan kemudahan kepada penganutnya, maka jual beli al-Salam dibenarkan kerana ia merupakan perniagaan yang dihajati oleh menusia. Disamping membenarkan jual beli al-Salam, Islam telah menetapkan beberapa peraturan-peraturan yang perlu dipenuhi agar jual beli salam ini tidak mengandungi sebarang unsur penipuan dan sesuatu yang tidak jelas yang akhirnya akan menimbulkan permusuhan dan perkelahian.

Ini bersesuai dengan lima tujuan (المقاصد) utama yang Islam datang untuk memeliharanya, iaitulah memelihara agama الدين) حفظ), memelihara diri (حفظ النفس), memelihara ‘akal (حفظ العقل), memelihara keturunan (حفظ النسْل) dan memelihara harta (حفظ المال).

Maka Islam sebagai agama yang datang dari Allah swt, sentiasa mengutamakan maslahah penganutnya. Peraturan-peraturan Islam senantiasa memberi manfaat (جلب المنافع) kepada manusia dan menolak mudarat (دفع المفاسد) dari mereka. Apabila Islam melihat sesuatu itu dihajati oleh manusia, maka Islam membenarkannya dengan ditetapkan beberapa peraturan untuk menjamin kebaikan itu kembali kepada manusia. Demikianlah Islam telah menghalalkan Bai’ al-Salam ini dan meletakkan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi untuk menjamin kebaikan bersama.

-------------------
Rujukan

1- Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al- Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafie (الفقه المنهج على مذهب الإمام الشافعي). Dar al-Qalam. Beserta terjemahan Kitab Fikah Mazhab Syafie. Pustaka Salam Sdn Bhd.

2- Dr. Wahbah al-Zuhaili. Terjemahan الفقه الإسلامي و أدلته (Penj) Md. Akhir Haji Yaacob. Fiqh Dan Perundangan Islam. Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1995.

3- Al-Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Juzairiy, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah (الفقه على المذاهب الأربعة ). Al-Maktabah al-‘Asyriah, 2002.

4- Al-Sayyid Sabiq (السيد سابق). Fiqh al-Sunnah (فقه السنة). Al-Maktabah al-‘Asyriah, 2002

Selasa, 2 April 2013

HALAL HARAM DALAM KONTRAK PEMBUATAN, RENOVASI DAN JAHITAN


Halal Haram Dalam Kontrak Pembuatan, Renovasi  Jahitan
Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
 renovasi
Pernahkah anda memperbaiki, menambah dan membesarkan rumah, dapur atau mana-mana bahagian rumah, pejabat atau kedai ?. Jika pernah, itulah yang dinamakan kontrak Istisna’ atau kontrak pembuatan di dalam ilmu Fiqh Islam. Namun, adakah anda sudah mengetahui syarat dan displin yang diletakkan oleh Islam dalam kontrak ini bagi ia benar-benar mematuhi hukum Shariah?. Insha Allah di dalam tulisan ringkas ini, saya akan cuba berkongsi beberapa perkara penting tentangnya. Hal ini termasuklah, kontrak pembuatan item yang besar seperti kereta, rumah atau sederhana seperti kereta, atau kecil seperti penjahit baju dan pakaian serta juga kontrak renovasi rumah, dapur dan seumpamanya.
Secara definisinya, Istisna’ adalah suatu kontrak jualan item yang khusus yang memerlukan proses pertukangan, pengilangan atau pembuatan. Sebagai contoh, kontrak jualan kereta yang masih belum siap tapi dalam pengilangan, rumah yang masih dalam pembuatan, dan begitu juga tempahan untuk membesarkan rumah, memasang kabeinet dapur, ruang tetamu, jahitan pakaian, kerja mencetak buku, majalah dan sebagainya. Semua itu adalah termasuk di dalam kategori jualan secara istisna’ yang telah disahkan harus dan ia juga telah wujud sejak zaman Nabi Muhammad sallaAllahu ‘alaihi wasallam. Baginda nabi sendiri pernah diriwayatkan menempah sebentuk cincin emas ( sewaktu belum diharamkan lelaki memakai emas). (hadis riwayat Al-Bukhari, 5/220 ; Muslim 3/1655). Nabi juga pernah menempah dibuatkan mimbar untuk berkhutbah sebagaimana disebut di dalam sohih al-Bukhari.
BEBERAPA SYARAT PENTING
Bagi memastikan jualan dan tempahan secara istisna’ ini sah dan halal, berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipastikan :
  1. Istisna’ adalah kontrak yang muktamad (ertinya jika mana-mana pihak ingin menamatkannya, mestilah mendapat izin dan redha pihak yang lain), sejurus pihak pembuat sudah meluangkan waktu, tenaga dan kos barahan mentah untuk menyiapkan tugasan yang dipohon. Namun sebelum kos-kos terbabit, pembeli berhak membatalkannya walau tanpa izin pembuat.
  2. Hanya terhad pada item yang perlukan proses pembuatan sahaja, justeru pembelian padi, jagug, buah-buahan dan yang sepertinya tidak termasuk dalam kontrak istisna’. Pun begitu, proses mengetin bahan makanan atau mempakejkannya ini boleh termasuk dalam kontrak istisna’.
  3. Diharuskan untuk menempah barangan secara istisna’ walaupun barangan itu tiada yang serupa dengannya dalam pasaran. Ini berbeza dengan kontrak jual beli as-salam yang mensyaratkan komoditi yang dibeli wujud dalam pasaran.
  4. Bahan-bahan mentah yang sedang digunakan oleh pembuat untuk menyiapkan tempahan BUKAN milik pembeli KECUALI pembuat sudah memberikan jaminan kerja akan siap dan sebahagian harga telah pun dibayar kepada pembuat bagi tujuan jaminan itu.
HARGA
  1. Harga keseluruhan item termasuk kos pertukangan mestilah diketahui dan disebut dengan jelas sewaktu kontrak di meterai.
  2. Harga boleh dibayar secara sekaligus (lump sum), mengikut peratusan siap atau di akhir dengan syarat ia dipersetujui dengan baik oleh kedua belah pihak.
  3. Harga juga dibenarkan untuk berbeza-beza berdasarkan tempoh siap, beerti pembuat boleh meletakkan harga RM 10,000 jika ingin siap dalam tempoh sebulan, RM 15,000 untuk siap dalam tempoh dua minggu atau RM 20,000 untuk dua minggu kerja. Namun DENGAN SYARAT, sewaktu kontrak dipersetujui, hanya satu harga dan tempoh dari pilihan yang diberi sahaja dipersetujui.
  4. Jika harga jangkaan hasil kiraan pembuat jauh lebih rendah dari kos yang dikenakan kepad apenempah. Pembuat tidak diwajibkan memberi diskaun. Hal yang juga jika kos anggaran meleset, ketika itu, kerugian mestilah ditanggung oleh pembuat tanpa memaksa pembeli membayar harga tambahan.
  5. Jika barang yang ditempah gagal disiapkan dalam tempoh yang dipersetujui, DIHARUSKAN untuk pembeli mengenakan denda mengikut hari kepada pembuat. Ia tidak dikira sebagai riba kerana ia bukanlah pertukran duit dengan duit tetapi kerja yang lewat dengan bayaran gantirugi wang. Keharusan telah diputuskan oleh Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia OIC.
  6. TIDAK BOLEH pembeli secara istisna’ menjual aset atau barang yang masih dalam proses pembuatan kepada pihak ketiga KECUALI jika ia menjualnya item atas specifikasi juga, ia dinamakan kontrak Istisna’ Selari. Sebagai contoh, Ahmad telah membeli dan menempah LIMA buah kereta BMW 520i dengan spesifikasi yang sama dan jelas. Sebelum kereta tersebut siap dihantar kepada Ahmad, Ahmad telah menjualkan sebuah kereta BMW spesifikasi BMW 520i kepada Ali dengan syarat ia tidaklah semestinya tertakluk kepada mana-mana kereta secara khusus tetapi ia hanya tertakluk kepada spesifikasi.
LAIN-LAIN BERKENAAN KONTRAK
  1. Adalah diharuskan setelah kontrak dimeterai, kedua-dua pihak bersetuju meminda mana-mana klausa kontrak. Tanpa persetujuan kedua belah pihak, pindaan, pengurangan atau tambahan TIDAK boleh dilakukan.
  2. Harus bagi pembeli untuk melantik seorang pakar bagi memantau kerja-kerja pembuat bagi memastikan kerja yang dilakukan menepati spesifikasi yang ditetapkan.
  3. JIka pembinaan dan pembuatan yang telah disiapkan berbeza spesifikasi dari yang ditempah dan diminta, pembeli berhak untuk menolak dan tidak membayar. Pun begitu, pembeli juga boleh menerima apa yang ada dengan tuntutan diskaun khas berdasarkan budibicara kedua pihak.
  4. JIka item yang telah siap menepati spesfikasi, tetapi pembeli menolak tanpa sebab yang kuat, pembuat boleh menyimpan barangan tersebut selaku pemegang amanah namun tidak dipertanggungjawab ke atas keselamatan barangan itu. Jika keadaan ini berlaku, pembeli juga perlu membayar kos khidmat simpanan yang dilakukan oleh pembuat. Jumlah itu sepatutnya dimaklumkan lebih awal oleh pembeli yang terpaksa menyimpan itu.
  5. Diharuskan juga bagi pembeli melantik pembuat atau pengilang menjadi ejennya atau wakil bagi menjualkan barangan yang telah siap kepada pihak ketiga dengan harga yang telah dipersetujui. Tugas itu boleh dilakukan sama ada dengan upah atau percuma.

Begitulah secara ringkas beberapa panduan bagi sesiapa yang terlibat dalam kontrak istisna sama ada ia dinamakan istisna’ atau tidak, ia masih tetapi perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam bagi mengelak berlakunya ketidaktentuan (gharar) yang boleh membatalkan aqad.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
15 Mac 2013

Sabtu, 30 Mac 2013

50 PRINSIP DAN PERKARA TENTANG TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY


50 PRINSIP DAN PERKARA TENTANG TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY



"Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang)."   - Tan Sri Syed Mokhtar.

               Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah taikun jutawan melayu yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Meskipun dirinya tidak sunyi dari dilabel sebagai Raja Kroni dalam memonopoli projek, penyumbang dana UMNO selain dikatakan menanggung hutang korporat yang tinggi, namun itu tidak menghalang untuk beliau terus mara membina empayar perniagaan. Pada penulis, selain dari kita mendengar cerita-cerita negatif tentang beliau, ada baiknya juga kita melihat beliau dari aspek-aspek positif yang boleh kita contohi.

               Meskipun penulis secara terbuka menyokong pendirian Pakatan Rakyat,Fomca dan NGO-NGO rakyat seperti CAP dalam isu perjanjian konsesi pembekalan tenaga (PPA) antara TNB dan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) yang dikelolakan oleh kerajaan (dimana dari lima syarikat pemain IPP yang ada salah satunya MMC Corp/Segari Energy Ventures adalah milik Syed Mokhtar) yang merugikan rakyat dan ekonomi negara, namun bukanlah tujuan utama penulis mengenengahkan bagaimana beliau memperoleh keuntungan. Kita mungkin tidak bersetuju dalam isu perjanjian yang menguntungkan pihak swasta dan 'berat sebelah' ini namun penulis cuba membawa pembaca untuk melihat dari segmen pemikiran yang berlainan iaitu bukan mempertikaikan bagaimana beliau memperoleh keuntungan tetapi sebaliknya cuba mencontohi apa yang beliau telah capai. Kita sepatutnya berfikir bagaimana hendak mewujudkan lebih banyak lagi syarikat IPP milik muslim untuk bersaing dengan syarikat milik non muslim. Bukan sahaja dalam industri penjanaan tenaga bebas, tetapi dalam semua industri berat bertaraf multinasional.

             Isu edaran kekayaan yang tidak seimbang juga turut mendapat perhatian namun penulis menganggap sebilangan besar usahawan bumiputera kita mungkin tidak melaksanakan tugasan dengan baik menyebabkan mereka gagal bersaing diperingkat nasional. Lihat saja disekililing kita, ramai dikalangan masyarakat kita yang lebih selesa berurusan dengan bangsa lain dari berurusan dengan bangsa sendiri. Perkhidmatan yang tidak cemerlang,tidak berkualiti serta tidak amanah dalam berurusan menyebabkan mereka bukan sahaja gagal  malah menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap mereka.

                Dalam perkongsian kali ini kita dapat melihat suara hati usahawan bumiputra ini. Banyak nasihat-nasihat dan kata-kata hikmat yang boleh memberi peransang kepada kita untuk turut maju seperti yang beliau kecapi kini. Paling penting, sikap dan tindakan kita hendaklah seiring dengan kata-kata yang kita ucapkan. Sekadar contoh, berapa ramai antara kita yang lantang mengkritik salah urus tadbir kerajaan yang sarat dengan penyelewengan dan bebanan hutang negara yang berbilion-bilion ringgit ( padahal dia hutang rokok & barang-barang kat kedai pun tak larat/malas nak bayar ). Begitu juga kita apabila kita mengkritik kemewahan para pemimpin sebaliknya kita juga pakai Honda Accord atau Mitsubishi Rexton walhal kita hanya berjawatan kerani pentadbiran. Renung-renungkan.....


50 Perkara Dari Tan Sri  Syed Mokhtar Al-Bukhary


1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarkatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkanwarisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.



13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.



21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .
30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakitSaya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya.Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.
50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.
Diharap perkara ini dapat menjadi renungan untuk kita semua.
What U give, U get back.

Khamis, 28 Mac 2013

PERSAUDARAAN KITA SEPATUTNYA MEMBANGUN EKONOMI UMAT



Persaudaraan Kita Sepatutnya Membangunkan Ekonomi Umat

PERSAUDARAAN KITA SEPATUTNYA MEMBANGUNKAN EKONOMI UMAT
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong antara satu sama lain dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan, nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai‘perkauman’. Suara itu dinyatakan kepada saya kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu sedaya mungkin membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh saudara-saudara muslim kita. Saya katakan; saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor.

Antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama di sudut sebagai kuasa pengeluaran. Sedangkan kita mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi. Juga seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim.

Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu yang memerlukan satu kajian luhur mengenai hal tersebut. Di samping itu, kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. Sama ada disebabkan oleh faktor kualiti, atau perasaan yang lain, saya kurang pasti. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.
Dunia Islam Lemah
Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara umat Islam masih lagi bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak, tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mengujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik Dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan:
“Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”. (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah)
Ini realiti yang berlaku. Maka jangan kita tanya, mengapa ramai ‘pak arab’ yang tabik tidak henti-henti dengan Barat. Ekonomi kebanyakan dunia Islam dijajah. Maruah kita menjadi rendah. Kita hakikatnya hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, namun negara umat Islam ramai yang masih meminta sedekah.
Senjata Ekonomi
Keadaan ini benar-benar mendesak, bahkan kita dalam keadaan darurat yang menuntut agar setiap kita berfikir membantu menaikkan kekuatan ekonomi umat Islam. Dunia hari ini sudah berubah dibandingkan dahulu. Bukan hanya kekuatan persenjataan yang menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara itu terhadap percaturan dunia. Bahkan ekonomi juga memainkan peranan penting dalam menentukan perubahan peta. Firman Allah dalam Surah al-Anfal: 60:
(maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh-musuh umat. Kekuatan yang mesti disiapkan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda adalah salah satu daripadanya yang dapat dilihat oleh manusia di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu. Pada zaman sekarang dari segi persenjataan, senjata-senjata canggih yang wujud pula menduduki tempat tugasan menggerunkan musuh. Maka umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu kekuatan ekonomi juga adalah senjata baru dalam membina kekuasaan di era moden. Kekuatan ekonomi mampu membawa kepada hasrat yang sama iaitu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi di zaman ini adalah satu tuntutan agama.
Produk Muslim
Malangnya kita cuai dan alpa. Kita ketinggalan dan dihina. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Bagi peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan kerajaan-kerajaan umat Islam yang ada.
agro-bazar.jpg
 Agro Bazar
Peranan Akidah
Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah mengujudkan rangkaian ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah islamiyyah) yang kukuh sesama kita. Di atas akidah yang teguh ini jugalah telah menjadikan umat ini dahulunya bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam. Ini rahsia kejayaan umat yang lalu.
Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan yang lain, termasuk dalam bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb:
(Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa Dunia Islam.. kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi,peperangan, pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu‘asir, m.s. 172, Saudi: Muassasah al-Madinah)
Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedang ini adalah sesuatu yang dituntut: Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadith ini, Nabi S.A.W. memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta perasaan mengambil berat sesama antara satu sama lain. Baginda S.A.W. memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas:
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan.( Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi` wa Qawa‘id ‘Ammat, m.s. 134, Beirut, Dar al-Fikr).
Persaudaraan Islam
Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasululuh S.A.W. demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuh dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Sabda Nabi s.a.w :
ayat3.jpg
“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tolong menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Namun sekira ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah dari orang lain dan Islam akan dipandang hina. Dr Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith di atas, menyebut:
Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, dia semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa. (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, 1/ 199, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita akan menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita ingin mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?.
Malanglah bagi kita ini jika sekadar tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran. Bahkan dalam soal ekonomi, jika tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Ukhuwwah Islamiyyah lebih penting. Sebab itu saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.
Gambar Hiasan
Kekuatan Kita
Sekiranya kesedaran ukhuwwah islamiyyah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Ini saya katakan berdasarkan faktor-foktor berikut:
Kuasa Membeli Yang Tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada -secara kelompok- mereka memiliki kuasa membeli yang tinggi. Ini kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa
Isu Halal Haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal telah menimbulkan keresahan kebanyakan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal berdikari dalam menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.
Ketegangan Yang Wujud : Ketegangan yang wujud sekarang antara Blok Barat dan umat Islam boleh membantu ke arah mengujudkan umat yang lebih memiliki jatidiri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab ramai yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.
Jika ukhuwwah Islamiyyah itu benar-benar dapat digilapkan sehingga ke peringkat penghayatan dalam bidang ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jatidiri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh yang besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa. Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim di zaman ini.